PENGURUS

Pengurus menentukan, merumus, mengarah, atau memberikan nasihat tentang dasar kerajaan seperti juga mereka yang dalam organisasi berkepentingan khas, menggubal undang-undang serta kaedah dan peraturan awam, mewakili kerajaan dan bertindak bagi pihaknya, mengawasi pentafsiran dan pelaksanaan dasar dan undang-undang kerajaa, atau merancang, mengarah dan menyelaraskan dasar dan aktiviti syarikat atau organisasi, atau jabatan dan bahagian dalamannya.

PROFESIONAL

Profesional meningkatkan ilmu pengetahuan sedia ada, mengaplikasikan konsep dan teori sains atau seni, mengajar tentang apa yang berlaku secara sistematik, atau melibatkan diri dalam mana-mana gabungan daripada ketiga-tiga aktiviti ini.

JURUTEKNIK DAN PROFESIONAL BERSEKUTU

Juruteknik dan profesional bersekutu biasanya melakukan tugas teknik dan yang berkaitan dengan penyelidikan dan pengaplikasian konsep sains atau seni dan kaedah operasi, dan peraturan kerajaan atau perniagaan serta mengajar di suatu peringkat pendidikan tertentu.

PEKERJA SOKONGAN PERKERANIAN

Pekerja sokongan perkeranian merekod, menyusun,menyimpan, dan mendapatkan semula maklumat yang berkaitan dengan kerja yang dilaksanakan, mengira data kewangan, perangkaan, dan data berangka yang lain serta menjalankan beberapa tugas perkeranian berkaitan pelanggan khususnya yang berhubung dengan operasi pengendalian wang, urusan perjalanan, serta maklumat dan janji temu perniagaan.

PEKERJA PERKHIDMATAN DAN JUALAN

Pekerja perkhidmatan dan jualan menyediakan perkhidmatan dan perlindungan yang berhubung dengan perjalanan, pengemasan, katering, penjagaan diri, atau perlindungan daripada kebakaran dan perbuatan yang menyalahi undang-undang, atau mereka menjadi model bagi ciptaan dan pameran seni , atau menunjuk cara dan menjual barangan di kedai borong atau runcit dan pertubuhan yang seumpamanya dan juga di gerai dan pasar.

PEKERJA MAHIR PERTANIAN, PERHUTANAN, DAN PERIKANAN

Menanam dan menuai tanaman ladanag atau pokok dan pokok renek; mengumpulkan buah-buahan dan tanaman liar; menternak, menjaga, atau memburu haiwan; mengeluarkan pelbagai produk ternakan, menanam, memulihara, dan mengeksploitasi hutan; membiakkan atau menangkap ikan; dan memelihara atau mengumpulkan pelbagai hidupan akuatik yang lain.

PEKERJA KEMAHIRAN DAN PEKERJA PERTUKANGAN YANG BERKAITAN

Menggunakan pengetahuan dan kemahiran khusus mereka dalam bidang perlombongan dan pembinaan, membentuk logam, dan menegakkan struktur logam; membuat, memasang, menyenggara, dan membaik pulih jentera, kelengkapan, dan perkakas; menjalankan percetakan serta mengeluarkan atau memproses barang makanan, tekstil atau kayu, logam dan barang lain. Kerja ini dijalankan dengan tangan dan perkakas yang menggunakan tangan dan perkakas lain untuk mengurangkan penggunaan daya fizikal dan masa yang diperlukan untuk tugas khusus serta untuk meningkatkan kualiti produk. Tugas ini memerlukan pemahaman semua peringkat proses pengeluaran, bahan dan perkakas yang digunakan serta sifat dan tujuan produk akhir.

OPERATOR LOJI DAN MESIN DAN PEMASANG

Operator loji dan mesin dan pemasang mengendalikan dan mengawasi jentera dan kelengkapan perindustrian dan pertanian, memandu dan mengendalikan kereta api, kenderaan bermotor dan jentera dan kelengkapan bergerak, atau memasang produk daripada bahagian komponen mengikut spesifikasi dan prosedur yang ketat. Kerja ini biasanya memerlukan pengalaman serta pemahaman berkaitan jentera dan kelengkapan perindustrian dan pertanian serta kebolehan untuk mengendalikan operasi yang menggunakan mesin dan menyesuaikan diri dengan pembaharuan teknologi.

PEKERJAAN ASAS

Pekerjaan asas menjalankan tugas yang mudah dan rutin yang biasanya memerlukan penggunaan perkakas tangan dan dalam beberapa kes memerlukan daya fizikal yang banyak.